BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 29, 2010

Ibu yakin SMS bukan daripada anak

Normah percaya pelajar pintar dilarikan pihak tidak bertanggungjawab

Oleh Safuri Kamarudin dan Mohd Fakri Awang Lah
bhnews@bharian.com.my
2010/03/29

BALING: Ibu kepada Halimaton Abd Rashid, 15, pelajar pintar yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu, yakin khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya kelmarin, bukan ditulis anaknya berdasarkan gaya bahasa dalam SMS itu.
Normah Abdul Mutalib, 46, berkata gaya bahasa dalam SMS itu agak janggal kerana kebiasaan Halimaton membahasakan dirinya ‘cek’ (saya dalam loghat Kedah) jika berhubung dengannya sama ada bercakap atau SMS. "Saya tidak percaya anak saya yang hantar SMS itu kerana anak saya tidak membahasakan dirinya "Dik Ton" (seperti dalam SMS itu) jika bercakap malah dalam SMS pun dia tulis begitu.

"Saya yakin orang lain yang hantar SMS itu. Besar kemungkinan dihantar orang yang melarikannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Normah juga percaya, anaknya tidak melarikan diri atas kehendak hatinya kerana Halimaton tidak pernah menunjukkan perubahan tingkah laku sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, Halimaton tidak pernah keluar berseorangan selain tidak menunjukkan perubahan sikap malah sering mengulangkaji pelajaran setiap kali pulang dari sekolah sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
"Sebagai ibu, naluri saya mengatakan Halimaton dilarikan orang tidak bertanggungjawab.

"SMS yang saya terima mengatakan anak saya sudah berkahwin juga amat menyedihkan kerana Halimaton adalah satu-satunya harapan saya untuk mengubah nasib keluarga," katanya.

Katanya, sejak kehilangan Halimaton beliau selalu sakit-sakit dan tidak terdaya.

melakukan kerja kerana terlalu rindukan anak kesayangannya itu.
Semalam akhbar ini melaporkan, Halimaton mendakwa sudah berkahwin dengan seorang pemuda berasal dari Langkawi berusia 19 tahun dan kini menetap di Kuala Krai, Kelantan.

Sementara itu, Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai, Alias Abdul Rahman, ketika ditemui, berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan pasangan remaja itu berada di sini.