BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 13, 2010

Jeritan Dinihari

Oleh Mohd Fakri Awang Lah
am@hmetro.com.my
2010/03/12

KUALA KRAI: Sembilan individu terselamat selepas lapan bangunan termasuk sebuah pasar raya, lima kedai dan dua rumah terbabit dalam kebakaran di Guchil Enam, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari penduduk berdekatan kawasan terbabit sejurus melihat api menjulang dalam pasar raya berkenaan.


Zunainah Hussin, 35, berkata ketika kejadian, dia bersama dua anak, Mohd Faris Bustaman, 10, dan Mohd Hafiz, 8, bersama anak saudaranya, Nurul Afiqah Kamaruddin, 21, sedang tidur dalam kedai.


Katanya, jeritan beberapa penduduk sekitar jam 4.30 pagi yang mengarahkan keluar dari bangunan terbabit menyelamatkan mereka empat beranak.


“Saya menyalakan lilin kerana bekalan elektrik terputus lalu mengejutkan kedua-dua anak dan anak saudara keluar.


“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan dan semuanya musnah dijilat api. Kerugian dianggarkan RM30,000,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Abdullah Zawawi Abdul Rahman, 36, pemilik Awie Bridal Collection berkata kebakaran itu menyebabkannya kerugian lebih RM200,000.


“Terdapat kira-kira 400 pasang baju pengantin dalam kedai ketika kebakaran berlaku dan beberapa pasang baju sudah ditempah pelanggan untuk digunakan pada majlis perkahwinan sepanjang cuti sekolah bermula esok (hari ini),” katanya.


Sementara itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar, berkata seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang dan Kuala Krai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.32 pagi.


“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.